Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) telah ditubuhkan bertujuan bagi menyediakan program penyelidikan dan akademik yang melahirkan modal insan dan cendiakawan yang berupaya menjadi sumber sinergi bagi pemantapan serta pengembangan produk dan ilmu peradaban Islam. Pelbagai program ilmiah telah dianjurkan oleh INSPIRE bagi perkongsian pendapat, pengalaman dan kepakaran di antara penceramah jemputan dan para peserta.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menerima surat jemputan daripada Arab Researcher ID (ARID) bagi penganjuran 6th International Scientific Forum 2020 (ISF2020) dan UniSZA akan diberikan beberapa keistimewaan sekiranya bersetuju untuk menjadi rakan kerjasama penganjuran program ini. Atas kesesuaian dan pengalaman INSPIRE dalam penganjuran beberapa program, Naib Canselor UniSZA telah memberi tanggungjawab kepada INSPIRE untuk menjayakan program ini bersama pihak ARID.

Mengikut perancangan asal, forum ini akan diadakan di Hotel Bangi Resort, Bangi, Selangor. Namun, atas beberapa kekangan yang timbul kerana pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia, penganjur terpaksa mengadakan forum ini secara atas talian setelah mengambilkira beberapa faktor terutamanya aspek keselamatan dan kesihatan. Forum ini akhirnya telah berjaya dianjurkan secara atas talian menggunakan aplikasi ZOOM pada 18 hingga 19 April 2020. Tema yang dipilih oleh pihak penganjur bagi forum ini adalah Advanced Studies in Digitization, Archiving and Manuscript Realization in Naqli and Aqli Knowledge.

Forum ilmiah ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan saintis, pakar ilmuan dan penyelidik untuk bertukar pendapat dan membuka ruang komunikasi antara mereka.Objektif penganjuran forum ini adalah untuk meningkatkan kepelbagaian bidang sains dan ilmu pengetahuan bagi mencapai pembangunan komprehensif yang bertujuan untuk membangunkan kemakmuran manusia sejagat. Penganjuran forum ini juga sebagai usaha dalam mewujudkan kepelbagaian program ilmiah pada masa dan tempat yang sesuai yang dapat memberi manfaat yang besar kepada peserta melalui platform intelektual ini. Ia sekaligus dapat menyediakan peluang penyertaan kepada saintis, pakar dan penyelidik dari pelbagai lapisan masyarakat dunia. Selain itu, penganjuran forum ini dapat memberi perkhidmatan dan kos yang berpatutan untuk membolehkan saintis, pakar dan penyelidik dari seluruh dunia dapat mencapai manfaat bersama dalam memperkayakan pengalaman di Malaysia dan lain-lain aktiviti dalam forum ini.

Pada penganjuran forum ini, peserta adalah terdiri daripada universiti tempatan dan antarabangsa serta badan pendidikan di seluruh dunia. Seramai hampir 200 orang peserta telah mendaftar dan membuat pembentangan kertas kerja penyelidikan masing-masing. Para peserta membuat pembentangan secara atas talian mengikut giliran masing-masing menggunakan aplikasi ZOOM. Para peserta daripada UniSZA adalah terdiri daripada kakitangan akademik dan pelajar pascasiswazah. Sesi pembentangan yang berlangsung selama 2 hari ini adalah mengikut waktu Mekah, Arab Saudi.

Antara keistimewaan yang diperolehi oleh UniSZA sebagai rakan kerjasama penganjuran forum ini adalah penajaan bagi penganjuran ISF2020 tidak melibatkan impikasi kewangan daripada pihak UniSZA. UniSZA hanya perlu menyediakan penyertaan peserta bagi ISF2020 di kalangan kakitangan akademik dan pelajar pascasiswazah. Ini bermakna, para peserta daripada UniSZA tidak akan dikenakan yuran penyertaan. Selain itu, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA turut dilantik sebagai Presiden Kehormat bagi ISF2020. UniSZA turut diberikan slot untuk ucapan aluan daripada Naib Canselor UniSZA semasa majlis perasmian ISF2020 di mana ucapan ini telah dijalankan secara lansung dan dapat disaksikan oleh kesemua peserta ISF2020 seluruh dunia pada waktu 2.30 petang waktu Malaysia. Ucapan aluan daripada Naib Canselor UniSZA ini turut akan dimasukkan dalam buku abstrak.

Secara keseluruhan, program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta walaupun diadakan secara atas talian. Rentetan daripada kerjsama UniSZA dan ARID dalam penganjuran forum ini, pihak ARID turut menjemput kakitangan akademik dan pelajar UniSZA yang mempunyai kebolehan berbahasa Arab untuk mendaftar sebagai ahli ARID melalui laman sesawang https://arid.my. Keahlian terkini ARID yang telah berdaftar dalam kalangan Pensyarah, Penyelidik dan Pelajar adalah dari seluruh dunia yang melebihi 104 negara.