Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Infostruktur & Rangkaian (PPIR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan Intellectual Discource on Islamic Civilization (IDSIC).Program IDSIC adalah merupakan program tahunan anjuran INSPIRE dan ianya diadakan beberapa siri dalam setahun.Pada siri kali ini, tajuk yang dipilih adalah New Normal: Kebiasaan Baharu Atau Kembali Kepada Amalan Dahulu?” bertepatan dengan isu semasa penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Program ini telah berlangsung pada 13 Mei 2020 (Rabu) jam 10.00 pagi menerusi dalam talian dengan menggunakan Aplikasi Cisco Webex.

Turut diundang sebagai panel pertama wacana ini ialah YBhg. Profesor Dato’ Paduka Mohamad Abu Bakar selaku Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UniSZA. Manakala panel kedua ialah YBrs. Dr. Zurita Mohd Yusoff, Felo Penyelidik INSPIRE seterusnya YBrs. Profesor Madya Dr. Najihah Abd Wahid, Felo Penyelidik INSPIRE selaku moderator. Seramai 130 orang peserta terdiri daripada kakitangan akademik dan pelajar UniSZA telah menyertai wacana ini menerusi dalam talian.

Penganjuran wacana ini bertujuan untuk menyeru agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan masyarakat, bangsa dan agama untuk melangkah ke era anjakan paradigma pemikiran dan perubahan sosial masyarakat melalui amalan ‘kebiasaan baru’yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal’ kesan daripada penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia pada ketika ini. Hal ini adalah untuk mengasuh dan menyediakan masyarakat dalam menghadapi kemungkinan dalam kehidupan masa depan sebagai langkah-langkah yang mesti dibuat untuk melindungi diri daripada berisiko dijangkiti oleh wabak COVID-19. Sebagai rakyat Malaysia juga, sudah pasti amalan ini akan mengambil masa untuk diterapkan dalam diri setiap individu dan memberi kesan kepada peradaban manusia dalam pelbagai aspek di era kini. Sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat amat diperlukan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Justeru itu, wacana dalam talian ini telah menerima sambutan baik dan membuka minda semua peserta melalui perkongsian yang telah diperhalusi oleh panel-panel forum dan beberapa soalan daripada peserta. Wacana ini juga amat bertepatan dengan isu semasa dan sebagai satu medium perkongsian atau penyampaian ilmu peradaban Islam secara langsung dan lain-lain bidang berkaitan secara tidak langsung kepada masyarakat.