Maqasid syariah mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan. Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada di dalam kerangka syariat. Diskusi dalam kalangan ahli akademik adalah suatu cara untuk menguasai kepakaran, perkongsian buah fikiran dan hala tuju ahli akademik tersebut dari sudut keilmuan dan penyelesaian masalah yang timbul.

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama International Institute of Islamic Thought (IIIT), Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dan Kelab UNESCO UniSZA telah berjayamenganjurkan International Conference on Social Islam 2020 pada 23 Januari 2020 bertempat di Dewan Perdana, UniSZA Kampus Gong Badak. Tema penganjuran konferen ini adalah ‘Islamic Social Framework in the Context of Maqasid Syariah and Civil Society’ yang dipilih oleh penganjur untukdijadikan platform bagi membincangkan kepentingan maqasid syariah dalam menangani isu-isu keagamaan dan perpaduan ummah di dunia khususnya di negara kita yang telah menjadi hangat pada masa kini sekaligus membimbangkan terjadinya keretakan perpaduan kaum dan menjejaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk mewujudkan kerjasama dan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam terutamanya demi sama-sama membantu dalam isu keagamaan dan perpaduan kaum melalui kepentingan maqasid syariah dalam      kehidupan. Penganjuran konferen ini juga dapat menyediakan medium percambahan dan perkongsian ilmu dalam kalangan ahli akademik UniSZA, cendekiawan luar dan NGO yang terlibat.Penceramah dan peserta berpeluang untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam mencari solusi untuk mempertahankan kepentingan maqasid syariah di negara sekaligus mengekalkan keharmonian masyarakat yang telah lama wujud. Ia akan dapat memberi kefahaman yang jelas terhadap isu-isu dan konflik agama dan perpaduan ummah yang timbul pada masa kini disebabkan membelakangi syariah yang akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang. Selain itu, konferen ini akan memberi pengetahuan dan kesedaran kepada peserta tentang kepentingan serta menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi mengekalkan corak kehidupan berlandaskan syariah pada masa kini.

Pada konferen kali ini, pihak penganjur telah membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Keynote Speaker. Kerjasama IIIT sebagai rakan kerjasama program telah memudahkan penganjur untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke konferen ini kerana beliau adalah merupakan Pengerusi IIIT East and Southeast Asia. Kredibiliti dan populariti daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim ini telah membuatkan konferen ini menarik minat orang ramai untuk hadir. Seramai lebih 700 orang peserta telah hadir ke konferen ini yang meliputi kakitangan dan pelajar UniSZA, kakitangan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, NGO/Persatuan yang berkaitan dan agensi-agensi luar serta orang awam. Konferen ini juga menampilkan penceramah jemputan iaitu Profesor Dato' Mohamad Abu Bakar yang merupakan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin. Untuk makluman, kursi ini diuruskan oleh INSPIRE. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UniSZA. Penganjur turut menampilkan penceramah antarabangsa seperti Prof. Dr. Habib Chirzin daripada IIIT Indonesia dan Prof. Madya Dr. Syed Khairudin Aljunied yang merupakan Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Para peserta juga dapat menimba ilmu dan pengalaman bersama beberapa orang lagi penceramah yang berwibawa seperti Prof Dr. Jamal Ahmed Bashier Badi, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan, IIUM serta Prof. Dr. Norizan Abdul Ghani, Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dan Prof. Madya Dr. Wan Mohd Yusof Wan Chik, Felo Penyelidik INSPIRE, UniSZA.

Konferen ini telah diserikan oleh Ucapan Perasmian daripada YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA. Turut berlangsung semasa program ini adalah Simbolik Pelancaran Buku Baharu Profesor Dato' Mohamad Abu Bakar iaitu Penghayatan Sebuah Ideal Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa (Edisi Kedua). Atas kerjasama UniSZA dan IIIT juga, satu Majlis Tandatangan Memorandum Perjanjian (MoA) juga diadakan sebelum sesi Keynote Speaker bermula. MoA ini adalah berkaitan dengan kerjasama UniSZA dan IIIT dalam perlantikan Profesor Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim daripada Sudan sebagai Profesor Pelawat Secara Sepenuh Masa di INSPIRE.

Secara kesimpulan, konferen ini telah berlangsung dengan lancar di mana kehadiran peserta dari sesi pagi hingga ke petang sentiasa penuh. Pembentangan daripada kesemua penceramah jemputan sangat menarik minat peserta. Rentetan daripada penganjuran konferen ini, INSPIRE sebagai penganjur utama akan menerbitkan satu Edited Book yang dihasilkan daripada kompilasi pembentangan kesemua penceramah.