• Berita
  • KEM SAINTIS ULUL ALBAB 2019

KEM SAINTIS ULUL ALBAB 2019

 

photo 2019-09-19 09-10-28

Generasi di alaf baru kini hidup dalam arus kemajuan sains dan teknologi serta ledakan maklumat yang berpunca daripada aplikasi ilmu sains dan kajian saintifik terhadap alam semesta. Malangnya, generasi baharu ini hanya tahu menggunakan alat teknologi tanpa menghayati kejadian alam fizikal dan kuasa penciptanya. Justeru, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kem Saintis Ulul Albab dalam usaha untuk melahirkan generasi baharu yang berupaya untuk menghayati kejadian alam dan mengaitkannya dengan kewujudan dan kekuasaan Tuhan melalui pendekatan al-Quran dan saintifik. Hasil kerjasama daripada Majlis Dakwah Negara Terengganu (MDNT) dan Pusat Pengajian Teras (PPT), UniSZA, kem ini dengan jayanya telah dianjurkan selama 3 hari 2 malam bermula dari 1 Ogos 2019 sehingga 3 Ogos 2019. Program yang diadakan di Kem Ko-kurikulum UniSZA, Merang Setiu ini adalah merupakan program tahunan INSPIRE dan ini merupakan penganjuran kali ketiga.

Tujuan utama kem ini diadakan adalah untuk memberikan latihan bersistematik kepada pelajar dalam mengintegrasikan ilmu wahyu yang difahami daripada ayat-ayat al-Qur’an dengan ilmu aqli yang dikaji daripada tanda-tanda kejadian alam semesta. Projek ini juga berteraskan pendidikan bersepadu Islam yang bermatlamat untuk membentuk Sahsiah Bersepadu Islam. Objektif penganjuran program ini adalah bagi menyedarkan peserta dan fasilitator tentang misi khusus bagi setiap insan sebagai Khalifah untuk mengurus alam dan manusia. Program ini juga dapat memperkasakan golongan peserta dan fasilitator untuk menjalankan tanggungjawab sosial terhadap agama, bangsa dan negara melalui khidmat kesukarelawan dan kemasyarakatan. Di samping itu, ia dapatmengasah bakat peserta dan fasilitator dalam pengurusan kepimpinan dan mempertingkatkan lagi pelbagai kemahiran praktikal dan insaniah serta daya kreativti sebagai agen transformasi bagi Negara dan Ummah.

Seramai 62 orang peserta telah terlibat dalam program ini yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar negeri Terengganu. Penyertaan daripada Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), adalah yang paling tertinggi iaitu seramai 25 orang. Tema yang digunakan pada kem kali ini ialah “3i (Iman, Islam & Ihsan) : Memacu Personaliti Unggul”. Antara aktiviti-aktiviti yang telah berjaya dijalankan sepanjang program ini adalah Latihan Dalam Kumpulan bersama fasilitator, slot Tadabbur , Water Confidence, Kembara Malam, Surat Wasiat Khalifah, persembahan ‘Aku Khalifah Allah’ dan banyak lagi. Para peserta juga berpeluang merasai pengalaman baharu iaitu tidur di dalam khemah dan melihat anak bulan di Balai Cerap UniSZA serta solat 5 waktu secara berjemaah sepanjang kem ini berlangsung. Untuk makluman, Dr Fauzi bin Yusoh yang merupakan Felo Penyelidik INSPIRE adalah ketua program bagi Kem Saintis Ulul Albab ini. Kebanyakan slot-slot aktiviti juga telah disampaikan oleh para Felo Penyelidik INSPIRE yang lain iaitu Prof. Madya Dr. Syed Hadzrullathfi, Prof. Madya Dr. Wan Mohd Yusof, Prof. Madya Dr. Wan Khairul Firdaus Wan Chik serta Timbalan Pengarah, Prof. Madya Dr. Najihah Abd Wahid.

Secara kesimpulannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan baik. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Ismail bin Ali, Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (MDN) Terengganu dan diserikan dengan kehadiran oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),Prof. Dr. Mohd Afandi Bin Muhamad dan Pengarah INSPIRE, Prof. Dr. Fadzli bin Adam, UniSZA. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau sangat menghargai segala kerjasama yang telah diberikan sepanjang program ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Diharapkan program sebegini akan terus mendapat sambutan dan sokongan semua pihak.

photo 2019-09-19 09-10-51

 

 

photo 2019-09-19 09-10-56

photo 2019-09-19 09-11-00