P66288949 2360207107530975 3810427910506938368 n

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bersidang pada 20 Februari 2019 telah meluluskan cadangan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Arkib Negara Malaysia bagi Kerjasama Penyelidikan dan Perkongsian Kepakaran dalam Bidang Pendigitalan Manuskrip Lama. Ianya sejajar dengan hasrat UniSZA untuk menjaga dan mengkaji lebih kurang 4000 naskah manuskrip-manuskrip lama. Manuskrip-manuskrip lama tersebut yang telah berusia lebih dari seribu tahun cukup bernilai untuk dijaga dengan cara mendigitasikan (Digitising) dengan menggunakan peralatan moden agar manuskrip-manuskrip tersebut kekal dalam bentuk digital di mana manuskrip-manuskrip yang telah didigitasi itu akan diletakkan di Perpustakaan UniSZA. Ia akan menjadi pengkalan data digital katalog dokumen-dokumen rasmi berkaitan Sejarah Alam Melayu, Islam dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, INSPIRE dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA telah menganjurkan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Arkib Negara Malaysia sebagai salah satu usaha untuk merealisasikan hasrat ini. Majlis ini telah berlangsung dengan jayanya di Atrium Perpustakaan UniSZA pada 14 Julai 2019 yang lalu. Majlis telah diserikan dengan ucapan aluan oleh Naib Canselor UniSZA, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Datuk Azemi Abdul Aziz. Majlis ini telah berlangsung selama 2 jam dengan dihadiri peserta seramai 60 orang termasuk Pengurusan Tertinggi UniSZA, kakitangan UniSZA serta pelajar-pelajar UniSZA. Turut hadir wakil daripada Muzium Negeri Terengganu dan Arkib Negara Malaysia.

Diharapkan penganjuran majlis MoU ini dapat memenuhi objektif iaitu mengukuhkan kerjasama antara UniSZA dengan agensi-agensi luar seperti Arkib Negara Malaysia dalam memartabatkan nilai manuskrip-manuskrip lama. MoU ini juga adalah untuk memartabatkan kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik dalam bidang kajian manuskrip yang ada di UniSZA. Di samping itu, ia juga akan mengukuhkan UniSZA sebagai sebuah universiti yang memfokuskan kepada niche ilmu-ilmu Islam yang berintegrasi dengan evolusi ilmu moden yang sangat relevan pada masa kini. Ianya sejajar dalam memastikan ilmu daripada manuskrip ini dapat dimanfaatkan oleh semua dan seiring dengan perkembangan industri teknologi (I.R 4.0). Selain itu, majlis ini akan menjadi satu medium untuk mempromosikan dan menaikkan nama UniSZA sebagai penggiat dalam memartabatkan manuskrip lama

Dengan termeterainya MoU ini, INSPIRE selaku pelaksana dan sekretariat bagi pihak UniSZA telah berbincang dengan pihak Arkib Negara Malaysia dan bersetuju untuk membeli manuskrip digital Malcolm Macdonald daripada Durham University, United Kingdom dengan anggaran kos sebanyak GBP6,195.00. Pembelian Manuskrip Digital Malcolm Macdonald yang dicadangkan ini akan memberi manfaat kepada semua di mana UniSZA akan menubuhkan Pusat Kajian Manuskrip secara atas talian (online) dan menjadi pusat dan tempat rujukan kajian manuskrip Islam yang terbesar di Asia Tenggara. Evolusi ilmu yang diperolehi secara atas talian yang boleh diakses tanpa had masa, jarak dan tempat turut menjadikan projek pengumpulan dan pendigitalan manuskrip ini amat penting.

Majlis ini juga turut memuatkan beberapa acara yang lain seperti Demonstrasi Pemuliharaan Manuskrip, Pameran 3 Abad Islam di Terengganu dan Jualan Buku. Melalui pameran ini, para hadirin didedahkan secara ringkas tentang sejarah awal pemerintahan Islam di Terengganu sehinggalah kepada perkembangan Terengganu daripada pelbagai sudut seperti politik, ekonomi, agama, pendidikan, budaya dan sebagainya. Cabaran-cabaran yang datang daripada pelbagai sudut ini ternyata perlu ditangani dengan berkesan dan bijak agar kita dapat memanfaatkan kekuatan warisan silam dan tidak mengulangi kesilapan sejarah. Program ini berakhir dengan sesi pertukaran cenderahati serta sesi bersama sidang media yang hadir bagi tujuan merakamkan detik-detik yang bersejarah ini.

P66648880 2360207130864306 5858066990647738368 o

 

 

 

P66945397 2360207250864294 3984305869029376000 n