57274454 2306405679577785 6289818745581862912 n-2

Generasi di alaf baru kini hidup dalam arus kemajuan sains dan teknologi serta ledakan maklumat yang berpunca daripada aplikasi ilmu sains dan kajian saintifik terhadap alam semesta. Malangnya, generasi baharu ini hanya tahu menggunakan alat teknologi tanpa menghayati kejadian alam fizikal dan kuasa penciptanya.

INSPIRE mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kem Saintis Ulul Albab dalam usaha untuk melahirkan generasi baharu yang berupaya untuk menghayati kejadian alam dan mengaitkannya dengan kewujudan dan kekuasaan Tuhan melalui pendekatan al-Quran dan saintifik. Penganjuran kem itu juga akan dapat mengasah bakat peserta dalam pengurusan kepimpinan dan mempertingkatkan pelbagai kemahiran praktikal dan insaniah serta daya kreativiti sebagai agen transformasi bagi Negara dan Ummah. Untuk makluman, Kem Saintis Ulul Albab adalah merupakan program tahunan anjuran INSPIRE dengan yang terbaru telah dijalankan di UniSZA IM4U Outreach, Kem Merang pada 1 hingga 3 November 2018 telah mendapat penyertaan seramai 70 orang murid sekolah rendah dan menengah.

Justeru, sebagai persiapan penganjuran untuk tahun 2019, INSPIRE telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Modul Kem Saintis Ulul Albab bagi memantapkan lagi modul yang akan digunakan semasa program berlangsung. Modul ini telah dinilai dan dipertingkatkan berdasarkan keperluan semasa dan respon-respon daripada peserta dan ibu bapa dalam penganjuran yang lepas.Bengkel ini telah diadakan di Hotel Cathayana, Kuantan pada 25 hingga 27 April 2019. Bengkel ini melibatkan semua kakitangan akademik dan pentadbiran INSPIRE iaitu seramai 13 orang bagi berkongsi idea dan pandangan untuk membaiki kekurangan pada penganjuran yang lepas.

Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi peluang kepada semua kakitangan INSPIRE untuk berbincang dan memilih tema yang sesuai bagi penganjuran Kem Saintis Ulul Albab tahun ini. Hasil perkongsian pendapat dan idea daripada peserta bengkel juga amat membantu dalam memantapkan dan memperkemaskan lagi modul untuk digunakan semasa Kem Saintis Ulul Albab 2019 bersesuaian dengan tema yang dipersetujui semasa bengkel ini. Selain itu, INSPIRE juga dapat menilai kekurangan dan kelemahan yang wujud semasa kem berlangsung pada tahun-tahun sebelum ini melalui pemerhatian dan respon-respon daripada peserta, ibu bapa dan para penceramah serta fasilitator. Melalui senarai kekurangan dan kelemahan yang ada itu, para peserta dapat berbincang bagi mengatasi masalah tersebut bagi memberi keselesaan kepada peserta. Bengkel ini turut memberi peluang kepada INSPIRE untuk mencetus idea yang boleh menjadi daya penarik kepada penyertaan peserta kem nanti.

Di akhir bengkel, para peserta telah berjaya merangka pengisian modul dengan jayanya. Semua ahli telah sebulat suara bersetuju Kem Saintis Ulul Albab 2019 akan diadakan pada 1 hingga 3 Ogos 2019 di UniSZA IM4U Outreach, Kem Merang dengan menggunakan tema ”3i (Iman, Islam & Ihsan): Memacu Personaliti Unggul”. Penutup bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengarah INSPIRE, Profesor Dr. Fadzli Adam. Beliau berharap Kem Saintis Ulul Albab akan berjalan dengan lancar dan menarik minat pelajar dan ibu bapa.

photo 2019-04-26 08-55-15

 

photo 2019-04-26 12-44-00