57650870 1968440013285654 7631044905074163712 o-2

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jayanya telah menganjurkan program Intellectual Discourse on Islamic Civilization: Ke Arah Wawasan Ilmu Yang Holistik pada 21 April 2019 yang lalu. Program ini telah diadakan di Dewan Kuliah Utama, UniSZA Kampus Gong Badak. Untuk makluman, Intellectual Discourse On Islamic Civilization adalah merupakan program tahunan INSPIRE dan ianya dianjurkan sebanyak empat (4) hingga lima (5) siri setahun. Pada siri kali ini, INSPIRE telah bekerjasama dengan Pejabat Naib Canselor untuk menjayakannya. INSPIRE telah mengalukan kedatangan Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar yang merupakan seorang Pengarah International Institute of Islamic Civilization and Malay World (ISTAC) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai penceramah jemputan. Tajuk yang disampaikan oleh beliau ialah Ke Arah Wawasan Ilmu Yang Holistik.

Pemilihan Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar sebagai penceramah pada siri ini adalah bertepatan kerana beliau merupakan seorang bekas Ketua Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), Universiti Brunei Darussalam. Beliau telah menerbitkan 22 buah buku dan lebih 300 artikel mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam, khususnya mengenai falsafah dan Sains Islam. Beliau juga berkarya mengenai Islam kontempopari dan dialog antara Agama dan Tamadun. Selain itu juga, karya yang dihasilkan olehnya banyak diterjemahkan dalam bahasa lain. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat dan perunding kepada pelbagai organisasi dan Institusi akademik dan profesional antarabangsa, termasuk UNESCO dan Yayasan Qatar. Beliau pernah dianugerahkan sijil oleh Raja Malaysia pada tahun 2000.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah bagi dijadikan platform untuk membincangkan pembangunan modal insan secara holistik yang mampu penuhi aspirasi negara dalam melahirkan generasi bertaraf dunia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi juga fleksibel dan kreatif, serta memiliki etika kerja positif dan nilai-nilai rohaniah.Penganjuran bengkel ini juga akan dapat mewujudkan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu islam khasnya demi sama-sama membantu dalam melahirkan generasi yang berwawasan dan berilmu tinggi. Selain itu, peserta dapat berkongsi ilmu dan bertukar pandangan dalam kalangan ahli akademik UniSZA, cendiakawan luar dan NGO yang terlibat sekaligus memberi kefahaman yang nyata terhadap isu-isu dan konflik yang timbul pada masa kini.

Pada program kali ini, seramai 300 orang peserta telah terlibat yang merangkumi kakitangan UniSZA, Pelajar UniSZA, Agensi-agensi luar dan NGO-NGO yang berkaitan di Terengganu. Program ini telah diserikan dengan ucapan aluan oleh Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA. Di dalam ucapan beliau, Naib Canselor berharap pihak penganjur terus memperbanyakkan penganjuran program ilmiah sebegini kerana ianya sangat bermanfaat untuk dibincangkan bagi memantapkan kualiti dan ilmu terutamanya orang Melayu dan Islam agar tidak ditindas.

58382350 1968440276618961 1168641218054193152 o-2

 

57583191 1968440579952264 195476764938469376 o-2