DSC 0483-2

Penubuhan Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin (KSMZA) telah diluluskan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 30 Oktober 2014 bagi tujuan pencarian dan pengembangan ilmu serta menjadi pemacu kepada penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi dalam bidang-bidang yang selaras dengan matlamat penubuhan Kursi. KSMZA ditempatkan di Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) ini akan membantu aktiviti penyelidikan, pengembangan ilmu, pengajian pascasiswazah dan pembangunan komuniti. Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti UniSZA telah melantik Profesor Dato’ Dr. Mohamad Abu Bakar sebagai Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin yang baharu untuk tempoh 2 tahun berkuatkuasa pada 31 Januari 2019 sehingga 30 Januari 2021.

Justeru, INSPIRE telah menganjurkan Syarahan Perdana Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin pada 25 Mac 2019 di Dewan Kuliah Utama, UniSZA Kampus Gong Badak. Syarahan Perdana KSMZA merupakan program tahunan yang diuruskan oleh INSPIRE sebagai medium penyampaian ilmu melalui pengalaman dan kepakaran Penyandang KSMZA di samping memperkenalkan Penyandang yang baharu dilantik ini kepada UniSZA semasa sesi Penyerahan Watikah Pelantikan yang turut dijalankan serentak semasa program berlangsung.

Pada program kali ini, Penyandang KSMZA telah menyampaikan syarahan bertajuk “Terengganu Darul Iman: Pengantarabangsaan Sebuah Penempatan”.Tujuan utama tajuk ini dipilih oleh Penyandang KSMZA adalah untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada umum khususnya kakitangan dan pelajar UniSZA terhadap sejarah penempatan masyarakat di negeri Terengganu Darul Iman. Melalui syarahan ini, para peserta akan dapatmenghayati nilai-nilai agama, budaya, perjuangan, kebersamaan, jati diri, sastera, budaya, inovasi dan tadbir urus yang menjadi asas di sepanjang proses dan evolusi pembangunan peradaban negeri Terengganu Darul Iman. Program ini juga telah dijadikan sebagai medium untuk memperkenalkan Penyandang KSMZA yang baharu dilantik kepada umum di samping memberi peluang kepada peserta untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan tajuk yang disampaikan.

Turut berlangsung semasa Syarahan Perdana KSMZA ini adalah Majlis Tandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Kolej Universiti Widad (WUC) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT). MoU yang ditandatangan itu akan memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama luar UniSZA melalui INSPIRE dengan beberapa cadangan yang telah dirancang bersama pihak WUC dan LMNT yang akan dilaksanakan pada tahun 2019 dan seterusnya. Antaranya adalah INSPIRE akan bekerjasama dengan pihak LMNT dalam penganjuran Konferen Antarabangsa yang dijangka akan diadakan pada bulan Oktober 2019 serta kerjasama dalam projek Pendigitalan Manuskrip Kesultanan Terengganu dan Alam Nusantara. Bersama pihak WUC pula, INSPIRE akan bekerjasama dalam penganjuran program Academic Talk dan perkongsian kepakaran dalam penerbitan dan penyelidikan.

Pada program kali ini dianggarkan seramai 300 orang peserta telah hadir bagi memeriahkan lagi program ini. Jumlah yang hadir ini merangkumi peserta yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UniSZA serta agensi-agensi luar yang telah dijemput untuk menyerikan lagi program yang berilmiah ini. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Ybhg. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dan Naib Canselor UniSZA, Ybhg. Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan juga hadir untuk memberi sokongan kepada program ini. Turut hadir adalah Pengarah LMNT, Ybhg. Haji Che Muhamad Azmi Ngah dan Naib Canselor WUC, Brig. Gen. (B) Prof. Dato’ Dr. Shohaimi Abdullah.

Secara kesimpulannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan turut diserikan dengan dengan ucapan perasmian oleh Naib Canselor UniSZA. Dalam ucapan tersebut, beliau berharap aktiviti-aktiviti yang dirancang dengan Penyandang KSMZA dapat berjalan dengan lancar dan berharap pihak INSPIRE dapat menganjurkan banyak lagi program ilmiah seperti syarahan ini yang dapat memberi manfaat kepada umum melalui tajuk-tajuk yang disampaikan.

DSC 0423-2

DSC 0501-2