DSC 0220-2

Perpaduan Ummah dan gelora semasa merupakan salah satu isu penting yang mana rata-rata masyarakat pada masa kini berbicara hal-hal yang berkait rapat dengannya di Malaysia. Perkara ini semakin hangat diperkatakan dek kerana kebimbangan yang akan menjejaskan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan keretakan perpaduan di Malaysia. ‘Grand Strategy’ merupakan suatu naratif besar yang akan dibentangkan sebagai petunjuk jalan dan rujukan serta untuk mengukuhkan lagi imej tentang masa hadapan yang ditujui.

Justeru, Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dengan kerjasama Majlid Dakwah Negara (Terengganu) telah mengadakan Intellectual Discourse On Islamic Civilization: Perbincangan Meja Bulat Grand Strategy Perpaduan Ummah Dan Gelora Semasa. Program ini adalah merupakan diskusi dalam kalangan ahli akademik yang merupakan suatu cara untuk menguasai kepakaran, perkongsian buah fikiran dan hala tuju ahli akademik tersebut dari sudut keilmuan dan penyelesaian masalah yang timbul.

Wacana yang dijelmakan dalam bentuk perbincangan meja bulat ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), UniSZA Kampus Gong Badak pada 21 Mac 2019 yang lalu. Program ini telah berlangsung selama 2 jam 30 minit dengan dihadiri peserta sekitar 50 orang dengan dilatari pelbagai institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antaranya adalah dari UniSZA, UMT, WADAH, SALIMAH, ABIM dan lain-lain. Turut terlibat adalah pelajar pascasiswazah UniSZA dan Ahli Jawatankuasa Majlis Dakwah Negara (Terengganu).

Perbincangan meja bulat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dr. Fadzli Adam, Pengarah INSPIRE, UniSZA. YBhg. Dato' Prof. Mohamad Abu Bakar yang merupakan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin telah dijemput sebagai penceramah dalam program ini. Objektif utama program ini diadakan adalah untuk mewujudkan kerjasama dan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam demi sama-sama membantu dalam isu perpaduan kaum. Selain itu, diskusi ini juga dapat menyediakan medium percambahan dan perkongsian ilmu dalam kalangan Ahli Akademik UniSZA, Cendiakawan luar dan NGO yang terlibat. Semua peserta yang hadir turut berkesempatan untuk berkongsi dan saling bertukar pandangan dengan penceramah jemputan dalam mencari solusi serta diberi kefahaman yang jelas terhadap isu-isu dan konflik perpaduan ummah yang muncul pada masa kini sehingga mampu memberi kesan kepada generasi yang akan datang.

Program ini berakhir pada jam 5 petang dengan penyampaian cenderamata oleh YBhg. Dato' Ismail Ali, Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (Terengganu) kepada penceramah jemputan.Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dijalankan dengan sempurna. Peserta yang hadir turut didedahkan dengan jelas dengan isu dan konflik perpaduan ummah yang diperhalusi di bawah tiga skop iaitu isu dan cabaran perpaduan ummah, faktor dan halangan, serta penyelesaian atau hala tuju.

DSC 0214-2

 

 

DSC 0207-2