53226710 2275136109371409 437355244146393088 n-2

Buku yang ditulis oleh John W. Creswell (1994) dengan judul : Research Design Qualitative & Quantitative Approaches merupakan salah satu buku yang pembahasan antara pendekatan kualitatif dan kuantitatif relatif berimbang. Pembahasan yang berimbang antara pendekatan penelitian kualitatif dan kuantitatif jarang ditemukan dalam literatur-literatur metodologi penelitian.

Justeru, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin telah mengambil inisiatif di atas tarikan buku oleh John W. Creswell ini dengan menganjurkan Bengkel Kaedah Penyelidikan Melalui Bedah Buku Creswell pada 4 Mac 2019 yang lalu. Bengkel tersebut telah berlangsung di Bilik Microteaching, Blok D, Aras 1, INSPIRE UniSZA Kampus Gong Badak.

Penganjuran bengkel ini amat penting bagi para penyelidik dan pelajar UniSZA di peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah terutama kepada mereka yang terlibat secara langsung sama ada dalam kajian kuantitatif dan kualitatif. Objektif utama program yang dianjurkan ini ialah, peserta dapat meningkatkan kefahaman yang berkaitan dengan metodologi kajian yang berasaskan buku Research Methodology oleh John W Creswell. Semasa bengkel ini berlangsung, para peserta dan penceramah juga telah berpeluang untuk bertukar pandangan dan idea baru untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi. Selain itu, program ini juga dapat menambah tahap kemahiran kepada para penyelidik dan pelajar dalam penulisan dengan lebih baik.

Pada bengkel kali ini, seramai 25 orang peserta telah terlibat yang merangkumi peserta daripada UniSZA dan luar UniSZA. Dr. Mohd Yusri Ibrahim selaku Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman pada bengkel kali ini. Pengalaman luas penceramah dalam bidang penulisan dan penyelidikan sedikit sebanyak telah membantu peserta untuk memahami penyampaian dengan mudah dan jelas. Pada awal ceramah tersebut, Dr. Mohd Yusri Ibrahim telah menerangkan tentang Pengenalan Mengenai Pendekatan Kualitatif dan Kuantitatif Relatif. Disambung pula dengan sesi II iaitu Teknik Penulisan Secara Kualitatif dan Kuantitatif Relatif Secara Terperinci.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjalan dengan jayanya. Diucap jutaan terima kasih buat penceramah jemputan iaitu Dr. Mohd Yusri Ibrahim yang menerangkan dengan jelas dan memberi kefahaman yang mendalam tentang Penyelidikan Melalui Bedah Buku Creswell. Majlis turut diserikan dengan majlis perasmian oleh Pengarah INSPIRE, Profesor Dr. Fadzli Adam.

photo 2019-03-04 10-10-03-2

 

photo 2019-03-04 10-09-47-2