photo 2019-02-12 09-28-40-2

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) telah ditubuhkan bertujuan bagi menyediakan program penyelidikan dan akademik yang melahirkan modal insan dan cendiakawan yang berupaya menjadi sumber sinergi bagi pemantapan serta pengembangan produk dan ilmu peradaban Islam.

Justeru, satu Bengkel Pemurnian Kertas Kerja Penyelidikan telah diadakan hasil kerjasama antara INSPIRE dan Fakulti Pengajian Kontemporari (FKI) bagi tujuan permohonan geran penyelidikan. Penganjuran bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada semua peserta berkongsi pendapat dan idea dalam meningkatkan kualiti kertas kerja sekaligus dapat menaikkan semangat peserta untuk terlibat dengan lebih yakin dan komited dalam aktiviti penyelidikan. Bengkel ini telah berjaya diadakan pada 12 Februari 2019 bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Bilik Aktiviti FKI di Blok E, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menjadi pilihan untuk penganjuran bengkel ini bagi memudahkan peserta daripada INSPIRE dan FKI berkumpul dengan mengambil kira majority Felo Penyelidik INSPIRE juga adalah merupakan pensyarah daripada FKI.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk memantapkan komitmen dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta untuk berkecimpung dengan lebih agresif dalam arena penyelidikan. Para peserta juga akan dapat mempertingkatkan kemahiran dan idea masing-masing dalam menghasilkan kertas cadangan penyelidikan yang berkualiti tinggi secara berkesan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman pakar. Selain itu, bengkel ini juga memberikan ruang dan waktu kepada peserta bagi memurnikan kertas cadangan penyelidikan peserta sehingga siap sepenuhnya untuk dihantar bagi tujuan permohonan geran penyelidikan yang bersesuaian.Perbincangan dan perkongsian idea daripada peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kepakaran akan menggalakkan peserta untuk lebih aktif dalam permohonan geran penyelidikan sekaligus dapat meningkatkan markah Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Universiti dalam Malaysian Research Assessment (MyRA).

Bengkel ini telah disertai oleh seramai 8 orang kakitangan akademik yang juga merupakan Felo Penyelidik INSPIRE dan 12 orang kakitangan akademik daripada FKI. Bengkel ini dimulakan dengan slot Kaedah Penulisan Kertas Cadangan Penyelidikan yang disampaikan oleh Pengarah INSPIRE sendiri iaitu Profesor Dr. Fadzli Adam yang mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam bidang penyelidikan. Bengkel diteruskan dengan slotPembentangan Kertas Cadangan Penyelidikan dan Permurnian Kertas Cadangan Penyelidikan bagi memberi ruang untuk peserta berkongsi idea dalam meningkatkan kualiti kertas cadangan selaras dengan keperluan semasa.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjalan lancar dengan komitmen yang telah diberikan oleh semua peserta dan pihak urusetia. Kesemua peserta berpeluang menambah ilmu baharu sekaligus dalam mempelajari teknik terkini mengikut peredaran masa. Kepakaran, pengalaman dan idea daripada peserta yang lebih senior juga sentiasa membantu peserta-peserta lain dalam meningkatkan kualiti kertas kerja sekaligus menjadi pemangkin semangat untuk terus aktif dalam arena penyelidikan. Bengkel telah diserikan dengan majlis perasmian oleh Pengarah INSPIRE.            

 

photo 2019-02-12 09-26-50-2