edit1

KUALA NERUS – Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jayanya telah menganjurkan Intellectual Discourse on Islamic Civilization (IDSIC 2018) pada 21 Oktober 2018. Program yang bermula pada jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang itu telah diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini adalah hasil kerjasama bersama UniSZA Society for Humanity (HUMANE).

Untuk makluman, program IDSIC adalah merupakan program tahunan anjuran INSPIRE dan ianya diadakan beberapa siri dalam setahun. Pada IDSIC kali ini, pihak INSPIRE telah menjemput Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh, yang merupakan Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA sebagai penceramah jemputan. Tajuk yang disampaikan oleh beliau adalah Perkongsian Pengalaman Misi Kemanusiaan Gaza.

Untuk makluman, Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh, telah terpilih melalui MyCARE untuk mewakili suara keamanan Malaysia dalam misi Flotilla Al Awda ke Gaza – ’Just Future for Palestine (JFP)’ dengan membawa 116 kotak ubat-ubatan untuk penduduk Gaza yang bernilai lebih kurang RM61,000.00. Pengalaman yang dimiliki oleh beliau sebagai salah seorang wakil dari Malaysia yang telah melaksanakan misi kemanusiaann gaza ini dikongsikan kepada para peserta.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada para peserta mengenai konflik penindasan terhadap umat islam di Gaza hari ini. Dalam program ini juga Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh menceritakan mengenai misi Flotilla Al Awda – Just Justife for Palestine (JFP) dalam membantu penduduk Gaza dan membebaskan Gaza dari serangan Israel. Selain itu, program ini akan mewujudkan kerjasama dan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam demi sama-sama membantu dalam isu penindasan terhadap umat islam.

Pada program kali ini seramai 150 orang peserta telah hadir termasuk pelajar dan kakitangan UniSZA. Turut hadir adalah Profesor Ir. Ts. Dr. R.Badlishah bin Ahmad yang merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi sekaligus merasmikan program tersebut.Program ini berakhir dengan penyampaian cenderahati oleh Pengarah INSPIRE iaitu Profesor Dr. Fadzli bin Adam kepada penceramah jemputan, Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh dan sesi bergambar.

IDSIC-WEB