Penceramah telah berkongsi pengalaman beliau bersama pasukan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan berhubung aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang telah dan akan dilaksanakan di beberapa buah negara yang melibatkan umat Islam iaitu Palestin, Syria dan Myammar. Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam misi menyelamatkan rakyat Rohingya daripada penafian hak dan ditindas oleh rejim Myanmar ialah membina dan membaik pulih masjid di dalam kem pelarian, membina institusi pendidikan dalam pelbagai bidang seperti bidang Al-Quran dan Hadis serta pelajaran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M).

Pasukan sukarelawan turut membina rumah perlindungan yang diperbuat daripada buluh dan tandas. Selain daripada itu, pasukan sukarelawan bersama penduduk tempatan turut membina lebih daripada 200 telaga tiub bagi mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian. Pembinaan dewan serbaguna turut dilakukan untuk pelbagai kegunaan pelarian seperti penginapan transit, pusat edaran sumbangan dan pemeriksaan kesihatan.

            Antara aktiviti lain yang turut dikongsi oleh penceramah ialah wang terkumpul hasil daripada sumbangan orang ramai, badan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan melalui ceramah dan jualan amal anjuran MAPIM digunakan untuk membeli lembu dan kambing bagi tujuan ibadah korban sempena Aidil Adha yang saban tahun diadakan untuk diagihkan kepada semua penduduk. Wang sumbangan turut digunakan untuk penyediaan pek makanan, bekalan makanan asas serta bekalan perubatan kepada setiap keluarga.

            YBrs. Tuan Haji Johan Ariff bin Ismail semasa perkongsiannya bersama para tetamu turut memaparkan video-video yang mengisahkan kehidupan sebenar rakyat di negara Aqsa. MAPIM berkolaborasi bersama Kerajaan Palestin, Turki, Jabatan Awqaf Masjid Al-Aqsa serta Ummet Vakfi mencadangkan penubuhan Projek Wakaf dan Infaq Aqsa bertujuan bagi pengumpulan dana daripada muslimin dan muslimat serta seluruh masjid di dunia agar turut membiayai penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

Segala dana yang diterima akan digunakan bagi tujuan pemulihan dan pemuliharaan Masjid Al-Aqsa yang telah dirosakkan oleh tentera Israel. Dana juga akan digunakan bagi pengukuhan Masjid Al-Aqsa dengan pembinaan perpustakaan, pusat penyelidikan, galeri, pusat wakaf, markaz untuk belia dan wanita serta pusat penerbitan. Selain daripada itu, agihan dana turut disalurkan kepada orang awam melalui khidmat kesihatan dengan membina hospital dan membekal ubat-ubatan kepada pesakit. Dana turut digunakan untuk membiayai peralatan, bahan dan petugas untuk kerja-kerja kebersihan Masjid Aqsa, pembiayaan elaun Imam jemputan dan rawatib, kos elektrik serta bekalan air.

Program perkongsian tersebut berakhir dengan penyampaian cenderahati oleh YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. R.Badlishah bin Ahmad kepada penceramah, YBrs. Tuan Haji Johan Ariff bin Ismail dan sesi bergambar. Adalah diharapkan para jemputan yang hadir mendapat manfaat serta mewar-warkan perkongsian ini dengan masyarakat dalam usaha berterusan mengumpul dana wakaf serta infaq daripada seramai mungkin individu, keluarga, persatuan, institusi atau mana-mana agensi demi tanggungjawab menjaga masyakat Rohingya dan Masjid Al-Aqsa ini daripada ancaman kufar dan pemimpin yang zalim.