Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jayanya telah menganjurkan Intellectual Discourse Series On Islamic Civilization (IDSIC 2017) pada 23 Mei 2017.

Program yang bermula pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang itu telah diadakan di Dewan Auditorium Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini adalah hasil kerjasama Majlis Ittihad Ummah Malaysia dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. Pada IDSIC siri pertama ini, pihak INSPIRE telah menjemput YBhg. Datuk Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain sebagai penceramah jemputan. Tajuk yang disampaikan oleh beliau adalah Konsep Kedaulatan Watan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk makluman,  YBhg. Datuk Wan Ahmad Fauzi merupakan Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah. Pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau sebagai bekas Peguam Syar’ie Terengganu, Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan Ahli Majlis Mesyuarat MAIDAM Terengganu amat berguna dalam usaha beliau untuk mengembangkan kefahaman kedaulatan negara melalui Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan berteraskan konsep kedaulatan watan.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada para peserta tentang Konsep Kedaulatan Watan’ yang terkait Perkara 181 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Para peserta juga akan dipupuk dengan kesedaran untuk memperkasakan institusi dan peranan Raja-raja Melayu dalam pemerintahan bagi pelestarian jati diri negara. Selain itu, program ini akan mewujudkan kerjasama dan kebersamaan semua pihak dan individu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam demi memartabatkan Islam dan mendaulatkan watan.

Pada program kali ini, seramai 120 orang peserta telah hadir termasuk pelajar dan kakitangan UniSZA serta agensi-agensi awam dari Pantai Timur. Turut hadir adalah Tuan Hj. Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz yang merupakan Pegawai Khas di Jabatan Perdana Menteri. Program telah diserikan dengan ucapan aluan oleh Pengarah INSPIRE, Profesor Dr. Fadzli bin Adam.

                       idsic1  idsic 2  idsic3  idsic 4

Print