Umat Islam di Malaysia yang berpegang pada Ahli Sunnah Wal Jamaah berdepan dengan pelbagai ancaman pemikiran dan cabaran semasa yang boleh menggugat aqidah dan kestabilan keamanan sejagat. Hari ini, masyarakat Islam di Malaysia berdepan dengan fahaman-fahaman seperti liberalisme yang memperjuangkan hak-hak manusia, salafi jihadi yang berunsur militan, Syiah Rafidhah yang menolak para Sahabat dan Salafussoleh yang telah menghalalkan darah sesama Muslim serta fahaman salafi jihadi atau wahabi yang ekstrimis yang menghukum sesat fahaman-fahaman yang lain dari mereka. Fenomena ini dilihat semakin popular di kalangan belia-belia Muslim tanah air. Beberapa pandangan dan fahaman kumpulan pelampau liberalism seperti yang diperjuangkan oleh kumpulan G25 yang pada fahaman mereka memberi keadilan dan kesaksamaan hak dalam masyarakat Malaysia dilihat bertentangan dengan garis panduan, nilai dan amalan agama Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sehubungan itu, fenomena ini perlu ditangani sebaik mungkin dan langkah pencegahan dari awal sangat penting bagi membendung gejala yang lebih buruk yang mungkin di luar jangkaan kita.

Justeru, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di bawah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah pun mengadakan  Seminar Ancaman Pelampau Liberalisme Terhadap Masyarakat Islam di Malaysia pada 21 Julai 2016 yang lalu.

Seminar ini telah dirasmikan olehMenteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki diiringi oleh Naib Cancelor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dato' Dr. Ahmad Zubaidi bin Abdul Latif dan Pengurusan Universiti. Seminar yang diadakan di Dewan Perdana UniSZA telah mendapat sambutan seramai 700 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UniSZA, wakil-wakil agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat-syarikat swasta.

Seminar ini juga turut diisi dengan slot-slot ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Dr. Amran Muhammad (IKSIM), SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (PDRM), Profesor Madya dr. Mohd Fauzi Hamat (UM), Dr. Abdull Rahman Mahmood (UKM), Dr. Razali Musa dan Profesor Madya Dr. Abd. Manam Mohamad (UniSZA).

Seminar yang dianjurkan ini diharapkan mampu memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan situasi semasa yang melanda dunia Islam masa kini. Penganjuran seminar sebegini amat penting untuk diteruskan agar kita dapat mengenali dan bersiap-sedia dalam menghadapi cabaran-cabaran selari dengan peredaran zaman.