photo 2017-02-08 12-17-36    photo 2017-02-08 12-18-41photo 2017-02-08 12-17-54

Syarahan Perdana Gerakan Islam dan Cabaran yang bertemakan Perkongsian dari Barat  diadakan dengan tujuan menjadikan ia satu medium perkongsian ilmiah dan pengalaman bersama Lauren Booth, seorang wartawan dan aktivis hak asasi manusia. Program ini telah berlangsung pada 21 Mei 2015 bertempat di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan ditaja sepenuhnya oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM).  Manakala di peringkat Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Pejabat Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan & Pembangunan), Majlis Ketua-Ketua Kluster Universiti (MKKU) dan Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) juga telah diberi amanah sebagai penganjur bersama bagi menjayakan program ini.

Sarah Jane Booth atau kini lebih dikenali dengan nama Lauren Booth dilahirkan di England, merupakan adik ipar kepada mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Beliau telah kembali kepada agama Islam pada tahun 2010 dan kini telah menetap di Qatar. Pemilik tubuh yang lampai ini, semakin lantang dalam menyuarakan pendapatnya dalam memperjuangkan hak asasi manusia terutamanya berkenaan perjuangan rakyat di Palestin.

Pada peringkat awal syarahan, beliau berkongsi perjalanan hidup sehingga terdetiknya hidayah Allah s.w.t untuk beliau mendalami agama Islam dan akhirnya menganut agama yang memberi ketenangan di hatinya.  Beliau juga turut berkongsi dengan para hadirin akan pengalaman beliau mengembara ke Gaza bersama aktivis-aktivis lain dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan. Beliau juga turut menegaskan bahawa Israel telah menduduki tanah Palestin secara haram dan telah banyak melanggar hak asasi manusia sejagat.

Syarahan Perdana ini turut dihadiri oleh Naib Cancelor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, Timbalan Naib Cancelor (P&P), Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Cancelor (HEPA), Prof. Dr. Nik Wan Omar, ahli-ahli pengurusan kanan universiti serta seramai lebih 800 peserta tempatan dan luar negara yang terdiri daripada kakitangan awam dan swasta, para pelajar dan komuniti tempatan.

Antara cabaran semasa yang melanda dunia ialah momokan dari media-media barat yang sering mengaitkan Islam dengan keganasan. Ini boleh dilihat melalui media cetak dan elektronik utama mereka yang saban hari menyiarkan berita atau artikel yang berat sebelah tanpa diberi ruang untuk pembelaan Islam. Justeru, menyukarkan usaha-usaha untuk membendung fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat dunia. Beliau turut menegaskan peranan media yang adil dan telus sangat penting dalam memaparkan realiti Islam yang sebenar serta menjadi tanggungjawab semua dalam mencerminkan keperibadian muslim yang sebenar bagi mengekang anggapan negatif terhadap Islam.

Perkongsian pengalaman dan ilmu daripada Lauren Booth dapat meningkatkan kesedaran kita terhadap cabaran dalam memperjuangkan agama Islam masa kini. Semua pihak harus memainkan peranan dalam menghadapi cabaran dan tohmahan dari media barat terhadap kesucian agama Islam. Pihak UniSZA akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menganjurkan program yang dapat memberikan manfaat kepada Islam dan negara pada masa akan datang.