banner forum perdana

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) telah diberi amanah untuk menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Pelancaran UniSZA Universiti Komuniti. Forum ini telah dianjurkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bank Rakyat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Quinara Al-Safir. Program ini telah selamat dirakamkan oleh pihak RTM yang diadakan di Tapak Karnival, UniSZA pada 7 Mei 2015 (Khamis).

Turut menghadiri forum pada malam tersebut ialah Tuan Haji Mohammad Sahar Mat Din, Ahli Lembaga Pengurusan Universiti, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Canselor (P&P), Prof. Dr. Nik Wan Omar, Timbalan Naib Canselor (HEPA), ahli-ahli pengurusan kanan universiti, dif-dif kehormat dari agensi kerajaan dan swasta, para pelajar serta komuniti tempatan. Penganjuran forum pada kali ini dihadiri oleh lebih seribu orang pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang juga merupakan Felo Utama INSPIRE telah menjalankan tanggungjawab sebagai moderator bagi kedua-dua sesi rakaman forum tersebut. Sesi rakaman yang pertama bagi tajuk ‘Kelahh Mung’ telah dijayakan oleh panel yang dijemput iaitu Dato’ Badlishah  Alauddin dan Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh. Manakala panel bagi rakaman sesi kedua yang bertajuk ‘Anak Jjuruh’ pula terdiri Dato’ Badlishah  Alauddin  dan Ustaz Abdul Halim Awang.

Dalam tajuk yang pertama, ahli forum membincangkan cara dan kebaikan dalam melahirkan generasi yang cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk kekuatan kerohanian di samping keperibadian modal insan lain yang mapan. Sesi yang kedua pula lebih menekankan cara dan kaedah mendidik anak supaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara berlandaskan ibubapa sebagai ikutan teladan yang paling hampir dengan mereka. Sesi soal jawab antara hadirin dan panel juga berlangsung secara santai, lebih-lebih lagi diselit dengan ungkapan-ungkapan di dalam dialek Terengganu.

Di samping penganjuran forum ini pada kali ini, gerai pameran bagi memperkenalkan INSPIRE  kepada komuniti juga telah dibuka sepanjang tiga (3) hari berlangsungnya program UniSZA Universiti Komuniti. Antara bahan yang dipamerkan ialah bidang pengajian yang ditawarkan, bidang kepakaran, aktiviti-aktiviti akademik dan penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan dan lain-lain lagi. Kebanyakan pengunjung yang hadir adalah generasi muda yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat siswazah serta para pelajar sekolah yang ingin menerokai potensi di universiti.

Pihak INSPIRE amat menghargai kerjasama daripada pihak RTM, JAKIM dan TNB yang menyediakan kemudahan dan krew teknikal dalam menjayakan rakaman tersebut. Tajaan kewangan yang diberikan oleh pihak Bank Rakyat dan tajaan penginapan oleh pihak Quinara Al-Safir amat membantu dalam menjayakan rakaman forum ini. Pihak INSPIRE amat menghargai dan berterima kasih atas bantuan-bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak. Berikutan sambutan yang diterima daripada peserta amat menggalakkan, pihak INSPIRE akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menganjurkan program seumpama ini pada masa akan datang.