Sesebuah institut pengajian tinggi yang ingin menawarkan program akademik perlu memohon kelulusan daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan menyediakan dokumen MQA-01 bagi program pengajian yang ingin ditawarkan itu. Pihak Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) telah mendapat kelulusan oleh universiti untuk menyediakan program akademik dan penyelidikan yang dapat melahirkan siswazah dan tokoh pemikir yang berupaya menjadi sumber sinergi bagi pemantapan serta pengembangan produk dan ilmu peradaban Islam.

Oleh yang demikian, pihak INSPIRE telah mengadakan Bengkel Penyediaan Dokumen MQA-01 pada 26 Januari 2015 yang lalu. Bengkel tersebut bertujuan untuk menyediakan dokumen yang lengkap untuk dihantar kepada pihak MQA disamping merangka struktur pengajian bagi setiap program yang akan ditawarkan. Bengkel yang diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort itu telah dihadiri oleh enam (6) orang staf INSPIRE dan seorang pelajar praktikal dari Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).

Antara yang telah terlibat secara langsung dalam bengkel ini adalah Pengarah INSPIRE sendiri iaitu Prof. Dr. Ahmad Shukri Yazid dan Prof. Madya Dr. Abdul Hakim Abdullah yang merupakan Timbalan Pengarah INSPIRE. Felo penyelidik yang terlibat adalah Prof. Madya Dr. Fadzli Adam dan Dr. Rahimah Embong. Turut serta Pegawai Tadbir INSPIRE iaitu Encik Nasrul Ezharuddin Che Amat, En. Amar bin Othman yang merupakan Pembantu Tadbir INSPIRE dan Cik Nor Zatul Iffa Tukimon, pelajar KIPSAS.

Bengkel yang telah diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Shukri bin Yazid telah berjaya menyediakan dokumen MQA yang lengkap bagi program Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Islam. Bengkel itu berakhir pada  jam lima petang dengan hasrat agar segala dokumen yang telah disediakan diluluskan oleh pihak MQA sekaligus dapat menawarkan program tersebut kepada bakal pelajar UniSZA pada masa akan datang.

   mqa2         mqa3