Cetak

Latar Belakang

Ditulis oleh Super User.

INSPIRE telah diluluskan penubuhannya oleh Mesyuarat Pengurusan Universiti pada Julai 2013. Visi INSPIRE adalah untuk menjadi pemangkin dalam penghasilan produk berteraskan peradaban Islam serta pemacu kepada pengembangan ilmu peradaban Islam bertaraf antarabangsa. Manakala misinya pula adalah menyediakan program akademik dan kegiatan penyelidikan yang melahirkan siswazah dan tokoh pemikir yang berupaya menjadi sumber sinergi bagi pemantapan serta pengembangan ilmu dan produk peradaban Islam.

Peradaban Islam muncul hasil daripada pengemblengan nilai tambah dan penjanaan produk daripada ilmu gunaan yang diterokai dan dikembangkan oleh umat Islam berlandaskan ajaran Islam. Al-Quran dan al-Hadith menjadi pemangkin kepada seluruh daya imaginasi dan inovasi untuk melahirkan nilai tambah dan produk tersebut. Ilmu tentang peradaban Islam merujuk kepada nilai tambah ilmu gunaan dan produk yang dihasilkan oleh pelbagai budaya komuniti Islam di seluruh dunia sejak dahulu hingga kini yang tidak tergelincir daripada landasan ajaran Islam yang murni.


Kedatangan Islam ke Nusantara telah membawa ketamadunan di rantau ini. Islam telah membawa perubahan yang besar khususnya dalam kalangan penduduk alam Melayu dari banyak aspek termasuk sosial, ekonomi dan politik. Masyarakat yang sekian lama menganut fahaman anamisme, mempraktikkan budaya hidup kuno, dijajah oleh negara luar seperti India dan Siam, telah diubah oleh Islam menjadi masyarakat yang bertauhid, mengamalkan budaya hidup berteraskan ilmu, akidah dan akhlak serta mengadaptasi ajaran Islam dalam kegiatan sosial, ekonomi dan politik.

Berdasarkan perancangan jangka panjang, INSPIRE diharapkan akan membantu kelahiran produk dan industri serta pengembangan ilmu berteraskan peradaban Islam hasil daripada input daripada pelbagai cabang ilmu yang berganding tenaga di UniSZA. Kesemua ini akan diilhami oleh motto UniSZA: “Ilmu Demi Faedah Insan” yang berasaskan Islam – Ilmu – Ummah.