
INSPIRE UniSZA Sertai Fiesta@UniSZA 2026 Melalui Pameran Inovasi Digital
KUALA NERUS, 14 Jun 2026 –Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) telah mengambil bahagian dalam program Fiesta@UniSZA 2026 (Festival Inovasi dan Eksplorasi Sains & Teknologi) yang berlangsung di Kampus Gong Badak pada 13 hingga 15 Jun 2026.
Penyertaan INSPIRE dalam program berprestij ini bertujuan memperkenalkan hasil inovasi digital universiti kepada masyarakat, pelajar, penyelidik serta pemain industri yang hadir sepanjang festival berlangsung.

Pada hari kedua program, iaitu 14 Jun 2026, INSPIRE telah mempamerkan dua produk utama iaitu Metaverse Pembelajaran e-Pondok dan Portal Manuskrip. Kedua-dua produk ini menonjolkan penggunaan teknologi digital dalam memperkasakan pendidikan, pemeliharaan warisan ilmu serta penyampaian maklumat secara lebih interaktif dan berkesan.
Metaverse Pembelajaran e-Pondok merupakan platform pembelajaran berasaskan teknologi metaverse yang membolehkan pengguna meneroka persekitaran pembelajaran maya secara imersif, sekali gus memberikan pengalaman pendidikan yang lebih menarik dan inovatif.
Sementara itu, Portal Manuskrip berfungsi sebagai platform digital yang menghimpunkan koleksi manuskrip untuk tujuan penyelidikan, pemeliharaan dan akses ilmu, selaras dengan usaha UniSZA dalam memartabatkan khazanah ilmu warisan.

Penyertaan INSPIRE dalam Fiesta@UniSZA 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam menyokong agenda transformasi digital, penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara berteraskan ilmu dan teknologi.
Program Fiesta@UniSZA 2026 turut menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti pameran STEM, demonstrasi teknologi, forum industri, seminar, bengkel, pameran inovasi dan pelbagai program interaktif yang terbuka kepada orang ramai.