mufti2
 
KUALA TERENGGANU, 16 Jun 2026 – Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Terengganu sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan pihak berkuasa agama negeri.
Kunjungan yang berlangsung pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengarah INSPIRE, Profesor Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus bin Wan Khairuldin, Timbalan Pengarah INSPIRE, Prof. Madya Dr. Wan Khairul Aiman bin Wan Mokhtar bersama delegasi INSPIRE.
 
Delegasi INSPIRE telah disambut oleh Sahibus Samahah Profesor Dr. Syed Hadzrullathfi bin Syed Omar, Dato’ Mufti Negeri Terengganu, serta Dr. Haji Ahmad Fadluldin bin Mohamad, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Puan Nor Surianty Binti Sulong,Ketua Penolong Mufti
Pertemuan tersebut menjadi platform bagi mempererat hubungan profesional serta membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan ilmu, pengembangan produk dan ketamadunan Melayu Islam, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu semasa masyarakat, pemerkasaan institusi fatwa, manuskrip Islam serta pembangunan ummah di negeri Terengganu.
 
 
Menurut pihak INSPIRE, hubungan erat antara institusi akademik dan agensi agama negeri amat penting dalam memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh untuk kepentingan masyarakat dan negara. Kerjasama strategik ini juga dilihat mampu memperkukuhkan agenda penyelidikan dan pengembangan ilmu berteraskan nilai-nilai Islam serta warisan ketamadunan Melayu.
INSPIRE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Mufti Negeri Terengganu atas kesudian menerima kunjungan hormat ini dan berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan melalui pelbagai program, penyelidikan dan inisiatif bersama pada masa akan datang.