INSPIRE UniSZA Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Perbincangan Kolaborasi Pendigitalan Manuskrip bersama DreamSEA
Kuala Lumpur, 14 Mei 2026 – Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa menerusi sesi perbincangan kolaborasi berkaitan pendigitalan manuskrip bersama Prof. Dr. Oman Fathurahman daripada DreamSEA.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan pendigitalan manuskrip Melayu Islam yang mempunyai nilai sejarah, ilmu dan warisan ketamadunan yang tinggi. Kolaborasi ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan khazanah manuskrip Nusantara dapat dipelihara serta diakses oleh generasi akan datang melalui teknologi digital.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan kaedah pengurusan manuskrip, pembangunan repositori digital, penyelidikan bersama serta potensi latihan dan perkongsian kepakaran dalam bidang filologi dan pemeliharaan manuskrip.
Pihak INSPIRE UniSZA yang diketuai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus bin Wan Khairuldin, Pengarah INSPIRE turut serta Dr. Noorsafuan Che Noh, Felo Penyelidik INSPIRE dan En. Muhammad Hafiy Abd Malek, Pegawai Penyeldik Sosial menyatakan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan penyelidikan dan pemeliharaan warisan Melayu Islam melalui jaringan strategik bersama institusi serta pakar antarabangsa. Kerjasama ini juga diharap dapat membuka ruang kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah dan program pembangunan kapasiti pada masa hadapan.
DreamSEA merupakan sebuah inisiatif antarabangsa yang memfokuskan kepada usaha pendigitalan manuskrip terancam di rantau Asia Tenggara, khususnya manuskrip yang berkaitan dengan sejarah, budaya dan tradisi ilmu masyarakat Nusantara.