MAJLIS PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UniSZA, IKIM DAN PSSCM MENGFOKUSKAN BIDANG PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN KETEMADUNAN MELAYU ISLAM

Kuala Nerus, 23 Februari 2025
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UniSZA. Majlis tersebut bertujuan memperkasakan penyelidikan dan penerbitan berkaitan kefahaman agama, nilai sejarah ketamadunan Melayu-Islam serta peranan Silat Cekak dalam perkembangan agama dan ketemadunan di Tanah Melayu.
Majlis telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, yang dalam ucapannya menekankan bahawa kolaborasi ini bukan sekadar perjanjian formal, tetapi langkah strategik untuk mengkaji dan mendokumentasikan penerbitan islam demi kepentingan ummah serta silah Silat Cekak sebagai warisan budaya yang kaya dengan falsafah dan nilai keislaman. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa platform penerbitan yang disediakan oleh IKIM akan memperluaskan capaian hasil kajian kepada masyarakat umum dan dunia akademik yang akan dibuka kepada pengkaji-pengkaji di ketiga-tiga pihak yang terlibat.
Presiden PSSCM pula menegaskan bahawa Silat Cekak bukan sahaja seni bela diri, tetapi medium penting dalam memahami sejarah dan budaya Melayu-Islam. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IKIM memaklumkan bahawa institusi tersebut komited untuk menyokong penerbitan hasil penyelidikan ini melalui pelbagai saluran media dan platform ilmiah yang disediakan IKIM.
Majlis berakhir dengan sesi menandatangani MoU dan sesi bergambar sebagai simbolik permulaan kerjasama yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan ilmu dan warisan budaya negara.
Majlis menandatangani MoU ini telah dijayakan dengan kehadiran di pihak IKIM oleh Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty (Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia,IKIM) disaksikan oleh Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil (Ketua Pengarah, IKIM). Di pihak PSSCM dihadiri oleh YBhg. Datuk Haji Maiden bin Kadir Shah (Presiden dan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia,PSSCM) disaksikan oleh Encik Mohd Hafiz bin Jamil (Setiausaha Agung, PSSCM).
Majlis menandatangani MoU ini turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abdul Razak (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UniSZA) sebagai saksi di pihak UniSZA, YBrs. Prof. Madya Dato’ Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusof (Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UniSZA), YBrs. Encik Muzafar bin Mohd Din (Pendaftar, UniSZA), YBrs. Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany (Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA), YBrs. Prof. Madya. Dr. Mohamad Zaidin bin Mat @ Mohamad (Pengarah INSPIRE, UniSZA), Felo Penyelidik ketiga-tiga pihak dan pegawai kanan daripada kesemua organisasi terlibat. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama dalam merealisasikan aspirasi dan objektif kerjasama strategik ini.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)