Demonstrasi Eksklusif Mengenai Pendigitalan Manuskrip

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024 – Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) telah dijemput secara rasmi oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia untuk mengadakan satu demonstrasi eksklusif mengenai pendigitalan manuskrip. Program ini bertujuan untuk menunjukkan prosedur pendigitalan dalam memelihara warisan Islam melalui penggunaan teknologi digital terkini.
Dalam demonstrasi ini, INSPIRE yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Zaidin Mohamad, Pengarah INSPIRE bersama Encik Ahmad Sufi Wislan, Pegawai Penyelidik Sosial INSPIRE dan Encik Ahmad Waqiuddin Arredha Mohd Khairudin, Penolong Pegawai Tadbir INSPIRE telah mempamerkan pengkaedahan penggunaan alat pemprosesan imej berdefinisi tinggi dan perisian khusus untuk mendigitalkan manuskrip lama. Pendekatan ini tidak hanya memelihara manuskrip daripada kerosakan fizikal tetapi juga memudahkan akses kepada para penyelidik dan orang awam.
INSPIRE, yang terkenal dengan inovasi dalam pemuliharaan seni dan manuskrip, menyambut baik jemputan ini dan berhasrat untuk berkongsi kepakaran mereka dalam usaha global untuk melestarikan warisan budaya.

Pihak kami merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Muzium Kesenian Islam Malaysia di atas kesudian menerima kunjungan daripada pihak kami. Semoga perbincangan dan sesi yang diadakan dapat menjalinkan kerjasama yang lebih akrab selepas ini.