Pada 24 hingga 27 April 2024, kerja-kerja penjejakan untuk pendigitalan manuskrip berkaitan Ulama Alam Melayu di Kedah yang merupakan sub projek ke 7 di bawah Projek Pendigitalan Manuskrip (PPM), Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah dilaksanakan dengan jayanya.

Ia bermula dengan kunjungan hormat ke Pustaka Jawi al-Qedahi yang diasaskan oleh Tuan Abdul Razak bin Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Didapati bahawa terdapat sekitar 60 naskhah tulisan ulama Melayu khususnya ulama Kedah.

Kemudian diadakan kunjungan hormat ke Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Pihak ATMA menerusi Ts. Dr. Ros Mahwati binti Ahmad Zakaria memaklumkan terdapat beberapa manuskrip di perpustakaan UKM. Mereka juga mencadangkan agar satu sistem yang boleh membaca manuskrip diwujudkan. Mereka juga mencadangkan agar UniSZA tidak hanya menjadi pusat pendigitalan ulama Melayu sahaja tapi merangkumi semua manuskrip meskipun bukan manuskrip ulama.

Pihak penyelidik juga membuat kunjungan ke Akademi Jawi Malaysia yang diasaskan oleh Tuan Muhammad Syukri Rosli. Terdapat beberapa cadangan kerjasama yang boleh diketengahkan berdasarkan kepakaran kedua-dua pihak. Kunjungan berikutnya adalah menemui keluarga arwah Ustaz Mohd Zaidi Abdullah di Shah Alam yang menyimpan sekitar 30 manuskrip tulisan ulama Melayu di rumahnya. Turut bersama adalah Cik Wan Jumanatun Nailiah binti Wan Muh Syahrir yang mewakili Pustaka Khazanah Fathaniyah bagi membantu melancarkan perbincangan.

Kumpulan penyelidik ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hasrul bin Shuhari, dan ahli penyelidik yang turut bersamanya ialah Dr. Hanif bin Md Lateh @ Junid, Dr. Muhammad Rashidi bin Wahab dan ahli penyelidik bersekutu, Dr. Farid bin Mat Zin (UKM). Semoga dengan usaha ini dapat membantu merealisasikan hasrat UniSZA untuk menjadi Pusat Rujukan Manuskrip Kebangsaan Melayu Digital di Malaysia.