UniSZA RAI PROF. DATO’ MOHAMAD BIN ABU BAKAR DALAM MAJLIS APRESIASI MANTAN PENYANDANG KURSI SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN (KSMZA)

24 September 2023 | Kuala Lumpur

Majlis Apresiasi Mantan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin (KSMZA) telah diadakan di Corus Hotel, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis tersebut diadakan bagi menzahirkan penghargaan kepada YBhg. Prof. Dato’ Mohamad bin Abu Bakar selaku mantan Penyandang KSMZA yang telah banyak memberikan sumbangan dan jasa bakti dalam bidang penyelidikan dan penerbitan kepada UniSZA umumnya dan kepada Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) UniSZA secara khususnya.

YBhg. Prof. Dato’ Mohamad bin Abu Bakar merupakan Penyandang KSMZA yang kedua bagi tempoh empat tahun bermula 31 Januari 2019 sehingga 30 Mac 2023 baru-baru ini.

Turut disempurnakan dalam majlis tersebut ialah ‘soft launching’ Buku Pacuan Ummah karya YBhg. Prof. Dato’ Mohamad bin Abu Bakar. YBhg. Prof. Dato’ Mohamad bin Abu Bakar telah menyerahkan manuskrip buku tersebut kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA yang turut disertai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Zaidin bin Mat @ Mohamad, Pengarah INSPIRE UniSZA.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniSZA), Encik Muzafar bin Mohd Din (Pendaftar UniSZA), Prof. Madya Dr. Syarilla Iryani binti Ahmad Saany (Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA) dan Prof. Madya Ts. Dr. Susilawati binti Mohamad (Timbalan Pengarah INSPIRE UniSZA).