INSPIRE dengan kerjasama Pejabat Bendahari UniSZA telah menganjurkan siri syarahan umum yang bertajuk “Potensi Pembangunan dan Pengurusan Waqaf di Malaysia” pada 15 Disember 2013 bertempat di Blok Khadijah jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Syarahan tersebut telah disampaikan Y. Bhg. Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa bin Syed Adwan Wafa, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad dan dihadiri seramai 70 peserta. Syarahan tersebut bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat kampus tentang konsep waqaf dan peranannya dalam pemerkasan ekonomi ummah.

Y. Bhg. Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa bin Syed Adwan Wafa menggambarkan dengan jelas bagaimana amalan waqaf telah menjadi budaya masyarakat Islam pada era kegemilangan tamadunnya. Beliau menyeru kepada para hadirin agar memahami, mempraktikkan dan menghayati dengan baik sistem waqaf yang menjadi satu amalan yang digalakkan oleh Islam. Pada hari ini, waqaf merupakan satu instrumen yang cukup berpotensi untuk mengembalikan semula kekuatan ummah khususnya dari sudut ekonomi. Umat Islam perlu mempunyai pemikiran yang besar terhadap sistem waqaf serta mempraktikkannya dalam skala yang lebih besar dan kontemporari. Secara langsung, ia boleh memajukan lagi sektor-sektor pembangunan hartanah, petroleum dan gas, pembuatan dan perindustrian, perubatan dan khidmat kesihatan, hospitaliti, pendidikan, pertanian, logistik dan pengakutan, makanan halal dan lain-lain lagi.